| |
| KOSMO! Newspaper (Malaysia) | | 28 December 2007 |
Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF Bakat 8 chef remaja
Dapur Berjaya Hotels & Resorts riuh-rendah dengan kehadiran chef-chef cilik dari Persatuan Yellow House Kuala Lumpur yang mengasah kemahiran mereka menyediakan pelbagai hidangan.
Melihat keletah lapan orang gadis yang berumur dari 13 hingga 15 tahun menyediakan masakan ayam turki dan roti halia, begitu mengamit hati.
Riuh-rendah dibuatnya dapur hotel, tatkala mereka sibuk menguli tepung, menekap dan membakar roti halia dengan pertolongan daripada Chef Pastri, Mohd Nordin Abdullah yang memiliki hamper 24 tahun dalam bidang masakan.
Sementara itu, di sudut yang lain pula, kelihatan Chef Masakan Barat, Azizul Fadzly Abu Bakar, mengajar kanak-kanak memotong sayur-sayuran seperti kentang, lobak merah dan tomato untuk dihiasi pada hidangan ayam turki.
Walaupun ada antara mereka baru pertama kali mengendalikan urusan di dapur, tidak sekali pun menampakkan mereka kekok atau berasa takut dengan kuali dan minyak yang panas.
Mendengar arahan dengan teliti daripada pakar chef, remaja-remaja ini dengan pantasnya membuat adunan mengikut resipi dan langkah-langkah yang disediakan.
“Ini bukan kelas memasak tetapi ia lebih kepada proses pembelajaran dan memupuk sikap tanggungjawab serta berdikari. Jika kanak-kanak tidak dilatih melakukan tugas-tugas yang bermanfaat dan bersungguh-sungguh maka apabila dewasa kelak, mereka sentiasa mengharapkan pertolongan dan bergantung pada orang lain.
“Walaupun hidup dalam keadaan yang miskin atau dilahirkan dalam keluarga yang kaya, ibu bapa mahupun golongan dewasa, wajib mendidik kanak-kanak supaya melakukan aktiviti atau kerja berguna,” jelas sukarelawan Persatuan Yellow House Kuala Lumpur, Bahagian Prima Selayang, Dr. Kok Mok Lang.
Menyentuh mengenai kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah, Mok memberitahu, kanak-kanak ini juga boleh mengecapi kebahagian dan kejayaan seperti kanak-kanak lain. Asalkan mereka diberi pendedahan, pendidikan dan dorongan yang sewajarnya.
Ramai yang beranggapan kanak-kanak miskin, hanya perlu diberi pertolongan dari segi kewangan dan pakaian, sedangkan pertolongan dalam bentuk pendidikan dan didikan juga mampu mengubah nasib mereka.
Mengambil kira factor tersebut, Berjaya Hotels & Resorts dan Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (YKPM) dengan kerjasama Persatuan Yellow House, Kuala Lumpur telah menganjurkan program amal masakan.
Program yang disertai oleh lapan chef cilik ini adalah untuk membina semangat mereka dalam member, berkongsi dan mendoakan kebahagiaan untuk insane yang tersayang seperti ahli keluarga, rakan-rakan atau guru.
Meskipun, membesar dalam keluarga berpendapatan rendah, semangat dan daya usaha yang ditunjukkan oleh mereka perlu dicontohi oleh golongan kanak-kanak yang lain. Tidak pernah terlintas di hati untuk memarahi atau kecewa kerana hidup tidak semewah berbanding rakan sebaya yang lain.
“Kemiskinan tidak pernah menghalang saya untuk membantu ibu bapa saya dalam bentuk pendidikan dan bantuan menguruskan rumah.
“Setiap kali ibu dan ayah saya, keluar mencari rezeki, saya akan mengemas rumah, menjaga adik-adik dan memasak,” jelas Moghenesvari anak perempuan Ramakrishnan, 14, mengenai ibunya yang bekerja sebagai pencuci bangunan manakala bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menerusi sesi pembelajaran mengenali bahan-bahan masakan dan kemahiran untuk memasak, kanak-kanak ini dapat mempelajari cara-cara menyediakan hidangan untuk diri sendiri dan orang lain. Tidak mustahil apabila sudah dewasa, mereka boleh menjadi tukang masak atau membuka perniagaan restoran.
“Lapan orang chef ini, dipilih berdasarkan kebolehan dan minat mereka dalam bidang masakan. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan, empat orang membakar roti halia manakala empat orang lagi menyediakan hidangan ayam turki.
“Melihat keseronokan dan kesungguhan yang ditunjukkan ketika memasak, saya percaya apabila meningkat dewasa mereka mampu memasak lebih banyak hidangan,” jelas Pengarah Komunikasi Pemasaran, Berjaya Hotels & Resorts, Thang Han-Ni.
 |
|
‘Selain memasak, saya juga berpeluang menginap di hotel dan mandi di kolam renang.Bilik hotel juga cantik dan selesa’ THASHINI RAMAKRISHNAN, 13 |
|
‘Inilah hadiah perayaan Krismas yang paling berharga buat saya kerana dapat belajar memasak seperti memotong sayur dan menghadiahkan masakan tersebut kepada insane tersayang’ CRYSTAILA SILVANA MARK SILVANUS, 13 |
|
‘Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih kami dalam program masakan amal ini. Walaupun pertama kali memasak tetapi ia sungguh menyeronokkan’ AMANDA SILVANA MARK SILVANUS, 12 |
|