PRESS ROOM

 
Utusan Malaysia newspaper (Malaysia)
28 January 2006

Tioman bakal dominasi destinasi ulung luncur air

Oleh MOHD.HAZLI HASSAN
[rekreasi@utusan.com.my]
Foto www.divetenggara.com

JIKA sebelum ini Pulau Tioman uang terletak kira-kira 56 kilomater dari Tanjung Gemok, Pahang hanya dikenali sebagai syurga penyelam skuba dan destinasi percutian terkemuka di Pantai Timur namun kini pulau bebas cukai itu semakin dikenali sebagai lokasi luncur air yang setanding dengan Bali di Indonesia.

Pulau yang mempunyai keluasan 38 kilometer panjang dan 19 kilometer lebar itu semakin mendapat kunjungan peluncur air dari seluruh dunia yang turut mengatakan ia mempunyai gulungan ombak yang mampu memberikan kepuasan kepada peluncur air.


 
KEJERNIHAN air dan keaslian kawasan timur Pulau Tioman mampu memikat pelancong asing untuk beriadah di situ.

Namun bukan semua lokasi yang ada di Pulau Tioman mempunyai lokasi luncur air dan yang paling kerap dikunjungi ialah kawasan pantai Kampung Juara yang terletak di timur pulau berkenaan dan juga Kampung Tekek.

Kampung Juara yang agak terasing daripada semua kampung yang ada di Tioman sebenarnya sudah mempunyai pelbagai produk pelancongan terutama riadah sukan ekstren termasuk mendaki tebing.

Walaupun dipisahkan oleh banjaran gunung yang ada di Pulau Tioman namun ia sering dikunjungi oleh pelancong dalam dan luar negeri kerana Kampung Juara masih berkeadaan seperti asal dan asli.

Selain Karang Balau, tebing yang sering menjadi tumpuan pandaki tebing dan pintu masuk laluan ke Bukit Kajang, bukit setinggi 1,038 meter yang turut terkenal di kalangan pendaki, Juara juga mempunyai air terjun Lubuk Tija, iaitu lokasi perkhemahan terkemuka Tioman.

Mungkin bagi orang ramai, menjelajah selama 45 minit menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui laluan tanah merah sejauh 7 kilometer yang terbentuk ketika kedatangan pelarian hanyut Vietnam dahulu kala ke Kampung Juara mungkin agak pelik.

Tetapi bagi peluncur air, ini merupakan salah satu daripada keunikan yang disajikan oleh Pulau Tioman untuk mereka walaupun mereka terpaksa mengangkut pelbagai peralatan luncur air yang banyak.

Selain gulungan ombak ganas antara Disember dan Februari yang mampu memberikan satu keseronokan kepada penggemar aktiviti ini, berada di Kampung Juara sahaja sudah cukup memberikan kelainan.


Segenap benua


Tidak banyak gangguan berbanding lain-lain kampung di Pulau Tioman. Inilah yang dicari-cari oleh peluncur air dari segenap benua di dunia.

Lebih asli lebih baik dan bagi mereka kemudahan dan infrastruktur moden hanya sebagai bonus tambahan kerana bagi peluncur air, kawasan yang asli akan memberikan keselesaan meluncur tanpa gangguan.

Ini boleh dilihat di Kampung Juara di mana ramai pelancong dari luar negara yang membawa kelengkapan meluncur mereka akan menginap selama beberapa minggu di situ.

Ini sebenarnya hanya untuk memastikan mereka memperoleh masa serta formasi gulungan ombak yang sesuai bagi membolehkan luncuran dilakukan dengan baik.

Selain beberapa lokasi di pantai Kampung Mentawak, Juara, destinasi seperti Pulau Seri Buat yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan menggunakan bot laju juga turut menjadi pilihan.

Biarpun jauh, namun ia berbaloi dengan sajian gulungan ombak yang menjadi idaman peluncur termasuk ia masih asli dengan keadaan asal.

Namun dalam mencari gulungan ombak terbaik di Pulau Tioman, musim angin monsun timur laut yang melanda negara dari Disember hingga Februari merupakan masa yang paling sesuai untuk sukan itu dan tidak sepanjgan masa seperti di Bali.
Menurut salah seorang peminat sukan berkenaan yang juga anak jati Pulau Tioman, Sharulrizan Salleh, 25, kategori ombak yang ada di Kampung Mentawak Pulau Tioman itu boleh dikatakan sama sahaja dengan apa yang ada di Bali.

Menurutnya, ombak Pulau Tioman membolehkan peluncur air bermain sama ada di bahagian kanan atau kiri di mana 'point break' ombak berkenaan berpecah dua untuk memberikan kebebasan kepada peluncur air untuk memilih.

"Tidak seperti di Cherating yang hanya memberikan luncuran di bahagian kiri, (Kampung) Mentawak memberikan senario berganda kepada peluncur untuk membolehkan mereka memilih," katanya.

Selain itu, kata Sharulrizan, ombak yang ada pada bulan Januari tidak berapa kuat namun tetap memberikan luncuran terbaik kepada peluncur air disebabkan kategori ombak yang tidak menentu atau lebih dikenali sebagai 'wave pub' di kalangan peluncur.

Apapun keseronokan yang ditunjukkan oleh sukan ini, Wan Norazizi Wan Endut, 23, yang sudah beberapa tahun berkecimpung dalam sukan ini turut memberi peringatan supaya mereka yang baru menceburi bidang ini mempelajarinya dengan teliti.
Sukan ini, menurutnya, turut mempunyai risikonya tersendiri termasuk digulung seolah-olah mesin basuh ketika terjatuh dari papan luncur di dasar laut.

"Jadi, seorang peluncur itu perlu mempunyai stamina yang kuat dan tidak panik ketika terjatuh dari papan luncur bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

Untuk keterangan lanjut mengenai aktiviti luncur air, orang ramai boleh menghubungi Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) di A145-147, Lorong Tun Ismail 6, Sri Dagangan, Kuantan atau menghubungi 09-5141206 serta facsimile 09-5148801.

Mereka juga boleh melayari laman web www.tioman.com atau e-mel tioman@mytioman.com.my.


PANTAI Kampung Mentawak merupakan antara destinasi luncur air terkemuka negara ini selain Cherating di Pahang.
 
GULUNGAN ombak di pantai Kampung Mentawak dikatakan sama taraf dengan Pantai Kuta dan Uluwatu di Bali, Indonesia pada masa-masa tertentu.


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts