| Harian
Metro newspaper (Malaysia) | | 25 December 2007 | Oleh:
Fairul Asmaini Mohd Pilus Remaja YKPM
belajar masak
Kelas 'Little Chefs - A
Day of Bliss, A Time to Give' beri peluang remaja pelajari hidangan ayam belanda.
KEHADIRAN
Krismas nyata memberi kegembiraan buat lapan remaja daripada Yayasan Kebajikan
dan Pembangunan Masyarakat (YKPM) kali ini.
Remaja berusia bawah 16 tahun
daripada yayasan di Taman Prima, Selayang, itu terpilih mengikuti acara bertemakan
'Little Chefs - A Day of Bliss, A Time to Give' anjuran Hotel and Resort Berjaya
dengan sokongan Persatuan Yellow House di Hotel & Pusat Konvensyen Berjaya
Times Square di ibu negara, baru-baru ini. Semua peserta berasal daripada
keluarga berpendapatan rendah di Selayang berkenaan diberi peluang untuk menginap
dan mempelajari cara membuat dua hidangan popular Hari Krismas iaitu ayam belanda
dan roti halia dengan bimbingan chef hotel berkenaan. Pengarah Komunikasi
Pemasarannya, Thang Han-Ni berkata, kali ini pihaknya memilih mengadakan pendekatan
yang berlainan berbanding program biasa bagi memberi peluang kepada remaja terbabit
mempelajari sesuatu yang baru menerusi kelas masakan.
Katanya, masyarakat
perlu mendidik golongan yang tidak berkemampuan ini untuk berusaha memiliki sesuatu
yang diingini dan bukannya sekadar memberi semata-mata. "Mereka perlu
diajar sejak kecil cara untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Mereka tidak
boleh duduk saja dan mengharap bantuan daripada orang luar kerana kelak masing-masing
akan berdepan dengan kehidupan mencabar. "Penganjuran program ini bukanlah
sekadar kelas masakan tetapi di sebaliknya, mereka dapat mempelajari pelbagai
perkara baru seperti semangat setiakawan, bantu-membantu, keyakinan diri dan pada
masa sama, berkongsi kegembiraan," katanya. Sushanti Roy, 12, dari
Selayang, berkata, dia begitu gembira terpilih untuk menyertai program terbabit. Dia
dan tiga lagi rakannya ditugaskan untuk mempelajari cara membuat roti halia dan
ia amat menyeronokkan apabila dapat bermain dengan adunan doh. "Saya
memang menggemari roti halia dan ini adalah kali pertama dapat membuatnya sendiri.
Sungguh menyeronokkan kerana chef tidak lokek berkongsi petua dan mengajar kami
dengan penuh sabar. "Pada mulanya saya dan rakan agak kekok dan malu-malu
tetapi lama-kelamaan perasaan berkenaan hilang dengan sendiri," katanya yang
mengakui ia bagaikan hadiah Krismas terbaik buat dirinya. Bagi pasangan
adik beradik, Amanda Silvana Mark Silvanus, 12 dan kakaknya, Crystalla, 13, mereka
ternyata amat gembira kerana berpeluang mempelajari cara untuk memasak sendiri
ayam belanda. Kata Amanda, selama ini, mereka jarang berpeluang menikmati
hidangan berkenaan kerana ia mahal dan keluarga tidak berkemampuan. "Menyediakan
hidangan ini tidaklar sesukar yang difikirkan sebelum ini. Ia memang menyeronokkan
apabila kami semua berganding bahu bersama-sama membersih, mengurut dan meletakkan
ramuan di atas badan ayam berkenaan," katanya. Setiap peserta program
itu turut menerima lima bungkusan roti halia yang akan diberikan kepada insane
yang mereka sayangi dan hargai di kawasan kejiranan masing masing. Setiap
pek roti halia itu turut diselitkan sekeping kad mengandungi mesej peribadi terhadap
penerima sempena Krismas. "Biarpun tidak seberapa tetapi ia sungguh
bermakna apabila dapat menghadiahkan sesuatu kepada insane yang kita sayangi,"
kata mereka.
|