
Berendam dalam kolam besar cukup mengasyikkan dengan latar belakang pemandangan gunung-gunung di Langkawi.
“Puas dan seronok” adalah kata-kata yang diluahkan oleh ahli keluarga penulis apabila pulang dari percutian tiga hari dua malam di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort pada cuti persekolahan lalu.
Kepenatan mengharungi perjalanan merentasi Lebuh Raya Utara Selatan selama tujuh jam dan ditambah satu jam lagi menaiki feri terasa berbalas dengan suasana nyaman dan tenang di pusat peranginan yang terletak di Langkawi itu.
Perasaan kembali menjejakkan kaki di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort sejak kali terakhir pada 1996, tidak banyak perubahan berlaku. Chalet di atas air dan di celah-celah rimbunan pohon hutan yang cukup terkenal di seluruh dunia itu mashi tegap seperti dahulu.
Sinaran matahari terbit dari celah-celah pulau di Laut Andaman tetap mengasyikkan. Ditambah dengan kilauan air laut bagaikan kristal dan ikan bermain-main di bawah chalet, suatu pengalaman yang boleh memujuk hati untuk kembali ke sana.
Bukan suatu yang mustahil kerana sepasang warga Belanda dijangka kembali ke Berjaya Langkawi pada April ini sebagaimana yang dilakukan mereka sejak enam tahun lalu.
Sebab utama mereka kembali pada setiap tahun adalah kerana faktor cuaca, layanan petugas dan kedamaian yang dinikmati di chalet di pinggir laut Andaman itu.
Lokasi chalet Premier di atas air yang dipilih penulis menghadap Laut Andaman di hadapan dan di belakangnya hutan hijau. Sebab itu adakala bertemu lotong (monyet berbulu hitam dengan sekeliling mata berwarna putih).
Chalet di atas air yang dibina dengan keluasan 56 meter persegi cukup membuatkan percutian seisi keluarga selesa.
Katil bersaiz queen dan sofa katil yang disediakan sudah mencukupi untuk sebuah keluarga menikmati percutian menarik di sini.
Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort terletak di Teluk Burau, kira-kira 15 minit pemanduan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat.
Chalet berseni bina tradisional Melayu didirikan di celah-celah hutan hujan di lereng bukit serta sebahagian lagi di atas air yang seolah-olah memagari pantai. Keseluruhan resort ini melibatkan keluasan lebih 70 ekar.
Dengan menaiki trak yang digunakan sebagai kenderaan utama untuk mengangkut tetamu di 502 bilik dan suite, kita dapat melihat keunikan dan keindahan resort ini.
Suasana tenang dan sepi serta ditemani bunyi unggas dan haiwan pasti memukau halwa telinga. Muzik alam ini tidak terdapat di pusat peranginan lain di Langkawi.
Antara lain keseronokan bercuti di resort ini sudah tentu kerana keenakan pelbagai menu masakan tempatan dan antarabangsa yang disajikan di restoran.
Hal ini ditambah dengan aktiviti ‘berendam’ di kolam atau melakukan aktiviti sukan air.
Selain itu, kelainan Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort yang dirasai ialah ketika mendapatkan khidmat urutan kaki di pusat spa yang begitu eksklusif lokasinya. Ayura Spa menyediakan urutan aromaterapi terletak di lereng bukit dengan di kelilingi hutan.
Resort yang telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa itu sememangnya terkenal di kalangan pelancong asing kerana keaslian reka bentuk chalet yang tidak mengganggu flora dan fauna di sekitar resort itu.
Ramai tetamu hotel yang terdiri daripada pelbagai warga, baik dari Eropah mahupun Arab serta negara Asia yang lain begitu seronok menikmati sepuas-puas hati keistimewaan yang disediakan di resort ini.
Ramai yang gemar berjalan kaki walaupun jarak chalet mereka ke lobi agak jauh dan boleh memakan masa lebih 20 minit.
Penulis sempat menyertai ‘rombongan’ jalan kaki bersama 20 tetamu lain menjejaki tupai terbang yang aktif pada waktu senja dan malam. Rata-rata peserta cukup ghairah melihat sendiri tupai terbang melintasi kepala mereka.
Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort adalah antara lokasi terbaik untuk melihat tupai terbang atau flying lemur (Cynocepahllus variagatus).
Dalam aktiviti ini, banyak ilmu alam dan habitat di resort ini didedahkan kepada tetamu. Langkawi menjadi tempat tinggal kira-kira 400 spesies rama-rama dan 98 jenis kelawar.
Sebab itu tetamu yang berjalan malam di resort ini tidak perlu bertepuk tampar kerana serangan nyamuk. Menurut staf di Berjaya Langkawi, aktiviti berjalan di dalam hutan – tetapi sebenarnya melalui celah-celah chalet – cukup popular di sini.
Selain itu tetamu juga boleh berkunjung ke Oriental Village dan menaiki kereta kabel Langkawi untuk melihat panorama sekitar pulau lagenda itu dari puncak Gunung Mat Cincang. Untuk ke sana, tetamu boleh berjalan kaki sahaja atau mendapatkan khidmat trak.
Sesiapa yang berminat untuk merasai pengalaman bercuti di Berjaya Langkawi Beach & Spa Resort, sila hubungi pejabat penempahan resort ini di Kuala Lumpur menerusi talian 03-21410088 atau talian tol percuma 1-800-88-3236.
Penempahan dalam talian boleh dilakukan melalui laman web www.berjayahotels-resorts.com/langkawi.htm atau e-mel: reservation@hr.berjaya.com.my
Courtesy from Utusan Malaysia newspaper |
|

Pasir yang putih gebu serta pondok seakan-akan piramid menjadi identiti pusat peranginan ini untuk menarik tetamu turun ke pantai.

Selepas menikmati urutan di Ayura Spa, tetamu boleh menjemur diri atau berenang dalam kolam.

TRAK yang diubah suai menjadi kenderaan cukup sesuai untuk membawa tetamu ke chalet atau meredah kawasan resort dalam hutan.

Pelancong asing pelbagai peringkat usia bersiap sedia untuk menjejaki haiwan yang aktif pada waktu malam di sekitar resort.

Pengurus Ayura Spa, Chloe Choo (kanan) and Rena sedia menunggu pengunjung.

Tupai terbang yang berjaya dijejaki penulis.
|