| Harian Metro newspaper (Malaysia) |
| 11 October 2007 |
" Gila air" tidak
puas berendam
"Jika Tan Sri (Vincent Tan) datang, botnya
tidak terus ke jeti. Sebaliknya, akan berhenti
di pelantar ini, sebelum beliau berenang ke pantai,"
kata Man, pemandu bot kami sambil menunjukkan
kedudukan pelantar berkenaan.
Tokoh perniagaan yang juga Ketua Eksekutif Berjaya
Corporation itu mempunyai banyak alasan untuk
berbuat demikian. Manakan tidak, kedudukan Berjaya
Redang Beach Resort di Teluk Dalam menjadikan
perairannya begitu tenang.
Ditambah dengan kejernihan air lautnya sudah
mampu membuatkan siapa saja yang "gila air"
tidak puas berendam apabila menginap di pusat
peranginan ini. Ini belum lagi menjejakkan kaki
ke atas pantainya yang panjang.
"Ikutkan hati,rasa tak mahu pulang,"
kata rakan media dari produksi tempatan ketika
melepak bersama di deretan "cabbana"
yang berdepan dengan kawasan pantai.
Kunjungan media ke Berjaya Redang adalah sempena
dengan International World Clean-up Day 2007.
Untuk peserta yang bukan penyelam, masa terluang
diisi dengan mengikuti aktiviti "snorkling"
yang diaturkan pengurusan.
Bahagian rekreasi hotel ini mempunyai pelbagai
pilihan aktiviti. Dari selam skuba, "island
hopping" and "jungle trekking",
semuanya boleh dilakukan dengan bantuan juru pandu
terlatih.
Jika tertinggal bot untuk ke lokasi popular
termasuk Teluk Mat Delah dan Pulau Paku, mereka
yang mahu snorkling boleh melakukannya di sekitar
kawasan pantai.
Tidak perlu pergi jauh untuk melihat "soft
coral" dan ikan, semua ada di bahagian kiri
pantai.
Jika mahu "mengumpan" kehadiran banyak
ikan, anda hanya perlu berenang dengan sebuku
roti. Nah, jangan terkejut jika melihat segerombolan
ikan meluru untuk mendapatkan makanan.
Lokasinya juga menjadi antara sebab beberapa
penyu mendarat untuk bertelur di kawasan pantai.
Ini dapat dilihat menerusi kesan pendaratan haiwan
itu di pagi hari.
Untuk menjejak haiwan itu secara dekat di sekitar
kawasan pantai, "turtle watching" dengan
bayaran RM40 untuk tempoh 45 minit diadakan mengikut
permintaan.
Lewat petang, kawasan pantai meriah apabila
tetamu dari pelbagai kenegaraan membentuk dua
pasukan dalam bola tampar.
Untuk yang malas bersukan, mereka boleh duduk
bersantai, membaca atau berbual kosong di deretan
"cabbana" di sepanjang pantai.
Memerhatikan matahari terbenam - sama ada dari
balkoni, tepi pantai atau ketika berkayak, ia
adalah pemandangan paling dinantikan di sini.
Tetamu boleh memilih sama ada tinggal di salah
dari 266 bilik dan suitenya. Sama ada Redang Hill
view atau Redang Seaview atau Garden View Suite,
semuanya dibina berdepan dengan kawasan pantai.
Selam skuba adalah antara pakej laris di Berjaya
Redang. PADI Gold Palm Resort Dive Centre sudah
lama dikenali di peringkat antarabangsa dengan
pengiktirafan profesional lima bintang.
Info
Cara paling mudah ke Redang adalah dengan
menaiki penerbangan terus dari Lapangan Terbang
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Terminal
3) atau Lapangan Terbang Seletar, Singapura.
-
Berjaya Air (www.berjaya-air.com)
mengadakan penerbangan harian dengan pesawat
48 tempat duduk, mengambil masa kira-kira
sejam 15 minit. Berjaya Redang terletak lima
minit dari Lapangan Terbang Redang.
- Untuk maklumat terkini mengenai promosi terkini,
layari www.berjayahotels-resorts.com
Untuk tempahan, hubungi 03-2141 0088. Untuk
mengetahui lebih lanjut mengenai Pulau Redang,
layari www.redang.org.
|