PRESS ROOM

 
Utusan Malaysia Newspaper (Malaysia)
05 January 2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL


Bukit Tinggi persis percutian luar negara

SEMEMANGNYA jika diberi pilihan, ramai daripada kita begitu teruja untuk melancong ke luar negara dan menikmati pengalaman suasana, keindahan dan kehidupan masyarakat yang pastinya berbeza dengan kita.

Bagaimana jika dikatakan pengalaman itu sebenarnya masih mampu untuk anda rasai di tanah sendiri dan biarpun mungkin sedikit berbeza, ia tetap mampu memahatkan kenangan terindah dalam hidup anda.

Itulah juga bakal anda alami apabila berkunjung ke pusat peranginan Bukit Tinggi, Pahang dan lebih istimewa, jaraknya hanya kira kira 45 kilometer sahaja dari ibu kota Kuala Lumpur.

Diinspirasikan daripada sebuah perkampungan lama di Perancis yang diserlahkan pada reka bentuk bangunannya, Berjaya Hills yang diluruskan oleh Berjaya Hotels & Resorts ini membawa anda seolah olah berada di Negara tersebut.

Pengalaman itu lebih terasa dengan kedinginan udara dan persekitarannya sesuai dengan kedudukan resort berkenaan iaitu kira-kira 1,000 daripada paras laut.

Menyambut ketibaan anda ke sebuah perkampungan yang begitu mendamaikan itu ialah Colmar Tropicale iaitu deretan hotel yang dibina dalam reka bentuk bangunan lama sama seperti perkampungan sebenar yang wujud di Alsace, Perancis.

Menyusur di bawah pintu gerbang yang diinspirasikan daripada Menara Riquewihr di Perancis dan jambatan batu itu ialah sebatang anak sungai buatan yang asalnya sebuah kolam dan ditempatkan dua pasang angsa putih dan angsa hitam yang cukup cantik dan jinak.

Berada dalam dakapan hutan tropika semula jadi berusia 150 tahun, satu-satunya perkampungan Perancis yang wujud di negara ini tidak hanya terserlah cita rasanya pada reka bentuk bangunan, malah turut ditonjolkan pada konsep hiasan dalaman 260 bilik yang ditawarkan.

Deretan kedai yang dibuka di bawah resort itu pula menyajikan anda dengan pelbagai menu makanan popular Perancis antaranya piza dan pastri di La Flamme Sidewalk Deli, makan malam romantik dengan persembahan penghibur jalanan di La Cigogne, cerut berkualiti tinggi di Levin dan roti Perancis di La Boulangerie.

Bertentangan dengan Colmar Tropicale ialah sebuah bangunan berbentuk seperti istana lama yang terletak di atas puncak bukit Vosges dan dibina pada zaman pertengahan Perancis ketika pemerintahan Haut-Koenigsbourg.

Dikenali sebagai Frech Chateau, istana ini menempatkan budaya dan kemudahan moden sesuai pada kurun ke-18 Perancis termasuk restoran, spa, tempat mandi semula jadi, pusat hiburan dan sebagainya.

Perkampungan Jepun misalnya yang lebih popular dikenali sebagai Bukit Tinggi Japanese Village adalah salah satu lokasi yang tidak wajar untuk anda lepaskan.

Terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Colmar Village menaiki bas yang disediakan, perkampungan Jepun yang penuh mendamaikan ini dibangunkan dengan sentuhan alam yang mengagumkan antaranya air terjun, kolam ikan koi dan ladang teh.

Di sini anda juga berpeluang untuk merasai pengalaman sebenar upacara minum teh Jepun secara tradisional selain merehatkan badan di spa Tatami .

Bagi anda yang berkunjung bersama keluarga pula, Taman Arnab yang menempatkan kira-kira 200 ekor arnab pelbagai spesies adalah kawasan yang tidak sepatutnya dilepaskan untuk dikunjungi.

Berikanlah kebebasan kepada anak-anak anda untuk bermain dan memberi makan kepada arnab-arnab ini selain peluang membelai rusa dan menunggang keldai yang turut ditempatkan di sini.

Untuk aktiviti yang lebih mencabar pula, anda boleh menunggang kuda bertemakan pakar mengelilingi Bukit Tinggi ini termasuk merentas hutan, kampong Aboriginal, tanah rata pergunungan dan menyusuri anak sungai.

Maklumat lanjut mengenai pakej penginapan dan tarikan di Bukit Tinggi boleh didapati dengan melayari laman web, www.berjayahotels-resorts.com atau hubungi talian 09-288 8888.


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts