PRESS ROOM

 
Utusan Malaysia newspaper (Malaysia)
4 February 2006

Berjaya Tioman

terus beroperasi pada musim tengkujuh

Oleh MOHD.HAZLI HASSAN
[pelancongan@utusan.com.my]

Bagi kebanyakan pelancong, musim angin Monsun Timur Laut yang melanda negara antara Disember hingga Februari merupakan 'musim cuti' bagi mereka untuk bercuti ke pulau-pulau peranginan di Pantai Timur.

Amaran kejadian ombak besar dan angin kuat sentiasa menghantui pelancong dan merupakan antara penyebab mereka tidak mahu mengunjungi pulau-pulau tersebut.

Antara pulau-pulau yang terlibat dengan 'perlanggaran' angin Monsun Timure Laut ini termasuk Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman di Pahang; Pulau Pemanggil dan Pulau Aur di Johor.


 
RESORT Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa yang berkeluasan kira-kira 80 hektar turut dilengkapi dengan pelbagai aktiviti rekreasi.

OPERASI
Namun tiada siapa yang menyangka musim Monsun Timur laut yang turut dikenali sebagai musim tengkujuh oleh penduduk Pantai Timur itu ada waktu perantaraannya. Ketika itu angin dan hujan akan berhenti dan ketika itulah kebanyakan penduduk pulau-pulau di Laut China Selatan akan keluar ke laut mencari ikan atau ke Bandar untuk membeli keperluan harian.

Tetapi ekoran perubahan angin dan cuaca yang tidak menentu sekarang, kebanyakan resort dan pusat percutian meneruskan operasi mereka ketika musim tengkujuh.

Bagi mereka sebarang bentuk aktiviti masih boleh dijalankan oleh pengunjung dan jika keadaan tidak mengizinkan, pengunjung masih boleh melakukan pelbagai aktiviti di sekitar kawasan resort sahaja.

Dan yang paling menarik, ketika inilah resort yang bertaraf lima bintang akan menawarkan harga promosi yang paling murah untuk membolehkan pengunjung bercuti dan melawat pulau peranginan tersebut.

Antara resort yang menawarkan khidmat percutian sepanjang tahun tanpa menghentikan operasi ialah Resort Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa.

Resort yang terletak di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Pahang ini merupakan satu-satunya resort bertaraf antarabangsa di pulau berkenaan. Ia menawarkan 400 buah chalet bercirikan seni bina Minangkabau.

Selain chalet, Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa turut menawarkan bilik-bilik suite berhawa dingin yang bertaraf antarabangsa sebanyak 196 buah.

Kawasan resort seluas 80 hektar itu juga dilengkapi dengan padang golf 18 lubang yang mampu menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa.

Pengunjung ke resort itu pasti tidak akan bosan dengan pilihan 11 lokasi untuk menjamu selera yang turut mempunyai pusat konvensyen yang mampu memuatkan antara 20 hingga 400 pengunjung serta enam buah bilik mesyuarat.

Itu bagi yang ingin mengadakan mesyuarat di Pulau Tioman. Bagi yang ingin berlibur dan berekreasi, Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa turut dilengkapi dengan pelbagai permainan luar dan berasaskan air bagi pelbagai peringkat umur.

Ini termasuk tiga kolam mandi, empat gelanggang tenis, pusat selam skuba, meluncur angin, belayar, memancing, snorkeling, kenu, bot dasar kaca, treking hutan, bola tampar pantai dan melawat pulau-pulau.

Tidak puas dengan itu, pengunjung juga boleh mengaturkan pelbagai bentuk permainan bagi kumpulan yang besar.
Selepas puas berekreasi kini tibalah masa untuk pengunjung membelai tubuh di Ayura Spa.

Di spa itu, pelbagai pakej mampu meyegarkan pengunjung turut disediakan dengan kaedah urutan tradisional Melayu.
Jadi jangan sia-siakan percutian ketika monsun melanda kerana Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa pasti memberikan percutian unik pada musim tengkujuh.

Lebih meyakinkan, kini orang ramai boleh menempah tiket penerbangan Berjaya Air secara dalam talian ke destinasi seperti Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Pangkor dan Koh Samui di Thailand. Anda hanya perlu melayari laman web www.berjaya-air.com.

Untuk menempah pakej percutian di Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa, orang ramai boleh menghubungi 03-2142 9611 dan 03-2145 4107 atau talian tol percuma 1-800-88-3236. Anda juga boleh mengirim e-mel kepada bhr@hr.berjaya.com.my atau reserv@b-tioman.com.my.

Mereka juga boleh melawat laman web www.berjayahotels-resorts.com.my.


KEMUDAHAN penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura terus ke Pulau Tioman memudahkan pengunjung.
 
SUASANA bilik yang harmoni dan mendamaikan menjadi pilihan pengunjung untuk ke Resort Berjaya Tioman Beach, Golf dan Spa.


Copyright © 2006 Berjaya Hotels & Resorts